Pages

Saturday, July 10, 2010

Cerita "INTERAKSI DUA HALA"


Daripada Sayyidina Umar Al-Khattab beliau berkata: Pada satu hari, tatkala kami berada disisi Rasulullah, tiba-tiba datang kepada kami seorang lelaki yang berpakaian sangat putih dan rambutnya hitam pekat, tiada kelihatan padanya tanda-tanda bermusafir dan tiada seorang antara kami pun yang mengenali beliau, sehinggalah beliau duduk mengadap Nabi. Ia menyandarkan kedua-dua lututnya kepada lutut Nabi, dan ia meletakkan kedua-dua tapak tangannya kepada pehanya sendiri lalu ia berkata: Wahai Muhammad, beritahu padaku mengenai Islam (rukunnya), maka sabda Nabi (Islam ialah menyaksikan bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu ialah pesuruh Allah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, dan menunaikan Haji di Mekah kiranya kamu mempu melakukannya.)

Kata lelaki itu: Benar jawapanmu, berkata Sayyidina Umar: Kami hairan bagaimanakah dia (Malaikat) bertanya kemudian ia sendiri yang membenarkan perkara tersebut. Ia bertanya lagi: Khabarkan padaku apakah dia rukun iman. Sabda Nabi: Iman pula ialah kamu beriman dengan Allah, para Malaikat-Nya, seluruh kitab yang diturunkan, para Rasul-Nya, Hari Akhirat, dan kamu beriman sdengan ketentuan Allah Taala sama ada yang baik atau yang buruk. :”Benar jawapanmu itu”, kata lelaki itu. Lelaki itu bertanya lagi: Apakah dia Ihsan? Jawab Nabi: Al-Ihsan ialah kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihat-Nya, jika kamu tidak mampu melihant-Nya, maka yakinlah bahawa Allah sentiasa memerhatikanmu. Lelaki itu meneruskan pertanyaannya: Khabarkan padaku bilakah berlakunya hari kiamat? Lalu Baginda menjawab: Tidaklah orang yang ditanya akan perkara tersebut lebih mengetahui daripada orang yang bertanya.

Apakah tanda-tandanya? Tanya lelaki itu lagi. Sabda Nabi: Seorang hamba melahirkan tuannya, kamu akan melihat orang yang tidak berselipar, bertelanjang, faqir dan pengembala kambing berlumba-lumba meninggikan bangunan. Berkata Sayyidina Umar: Kemudian lelaki itu beredar, setelah beberapa hari Nabi pun berkata kepadaku: Wahai Umar! Apakah kamu tahu siapakah yang bertanya tadi? Jawabku: Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Sabda Nabi: Sesungguhnya itulah Malaikat Jibril, ia datang kepada kalian untuk mengajar tentang agama kalian.



No comments: