Pages

Wednesday, July 28, 2010

Syaaban yang Menggetarkan...

Ruginya jika seorang muslim tidak tahu bulan-bulan indah dalam Islam, ganjaran-ganjaran hebat pada bulan-bulan tersebut serta keistimewaannya yang kadang-kadang menggetarkan. Bagi mereka yang berfikir, sudah tentu sekarang ini mereka sedang berebut mencari pahala dan rahmat daripada Allah Maha Agung lagi Dia Yang Maha Pemurah.

Sabda Rasulullah saw:
"Barangsiapa yang berpuasa sehari dalam bulan Syaaban, diharamkan oleh Allah tubuhnya daripada api neraka. dia akan menjadi taulan Nabi Allah Yusuf di dalam syurga. Diberi pahala oleh Allah seperti pahala Nabi Allah Ayub dan Nabi Daud. Jika dia sempurnakan puasanya sebulan bulan Syaaban, dimudahkan Allah atasnya Sakaratulmaut dan ditolakkan (terlepas) daripadanya kegelapan di dalam kubur, dilepaskan daripada huru-hara Munkar dan Nakir, ditutup Allah akan keaibannya di hari qiamat, dan diwajibkan Syurga baginya.."

Lagi sabda Rasulullah....."Apabila masuk bulan Syaaban, baikkanlah niatmu padanya, kerana kelebihan Syaaban atas segala bulan seperti kelebihanku ke atasmu...."

Bulan Syaaban...keagungan malamnya dengan malam Nisfu Syaaban sepertimana keagungan Rejab dengan malam Isra' Mikrajnya, dan keagungan Ramadhan dengan Lailatul Qadarnya. Maka pada malam Nisfu Syaaban telah datang Jibril Alaihi Salam kepada Rasulullah lalu katanya: "Angkat kepalamu ke langit, itulah malam yang dibukakan Allah padanya tiga ratus rahmat dan diampunkan Allah sekalian orang yang tiada menyekutukan (syirik) denganNya sesuatu, kecuali : Tukang nujum, orang yang kekal dalam zina, kekal minum arak dan orang yang derhaka terhadap ibu bapanya."

Kita yang beragama Islam ini sudah tentu mahu melahirkan umat yang berkualiti dalam ibadatnya, hebat dalam mengurus masanya dan berdedikasi dalam pekerjaannya. Allah tidak menyuruh kita sekadar menunaikan ibadat khusus seperti sembahyang, puasa dan bersedekah sahaja tetapi juga menekankan agar setiap ibadat yang dilakukan mampu melahirkan umat yang sedar siapa mereka dan apa tanggungjawab mereka.

Lihat sahaja apa yang ditunjuk oleh Junjungan Mulia Nabi Muhammad, Rasulullah yang hebat ini. Rasulullah bukan saja merupakan seorang yang kuat beribadat, sentiasa memohon keampunan malah baginda juga sebagai bapa, suami, ahli masyarakat dan juga yang paling besar dan berat adalah sebagai pemimpin negara.

Semuanya dikira ibadat jika dilakukan mengikut landasan Islam. Justeru, janganlah beranggapan ibadat adalah perkara yang berkaitan dengan sembahyang, puasa, haji dan ibadat khusus yang lain sahaja tanpa mempedulikan kewajipan kita yang besar seperti tanggungjawab terhadap kerja, keluarga, masyarakat setempat dan juga pemerintahan negara.



No comments: