Pages

Friday, March 26, 2010

FIQH AL-MAR'ĀH (Kefahaman Wanita)

Ruang lingkup perbahasan fiqh amatlah luas. Perbahasan fiqh ini merangkumi perkara-perkara yang berhubung dengan individu, masyarakat, dan negara yang melengkapi pula segala bidang serta cabang-cabang ibadat, mu'amalat, kekeluargaan, perikatan, perjanjian, pembuktian, saksi, hukum-hakam internasional dan sebagainya.


Definisi Fiqh al-Mar'āh

Menurut bahasa yang dikatakan fiqh (فقه) ialah tahu atau faham. Manakala menurut istilah para fuqaha pula, fiqh ialah ilmu yang menerangkan hukum-hukum syarak yang diperolehi daripada dalil-dalil yang khusus dengan jalan penyelidikan dan ijtihād. Ada juga yang berpendapat serta menetapkan definisi fiqh itu sebagai suatu ilmu yang membicarakan tentang hukum-hukum syarak yang berupa amalan dan diambil daripada dalil-dalil syarak seperti al-Quran dan hadis-hadis sahih yang dihuraikan dengan terang dan terperinci.


Al-Mar'āh (المرأة) adalah berasal daripada kata nama bahasa arab. Al-Mar'āh dari sudut bahasa adalah seorang wanita. Allah s.w.t telah mencipta manusia dari dua jenis jantina yakni lelaki dan wanita maka dengan itulah, setiap lelaki dan wanita Islam yang sempurna, di bahu mereka terdapat amanah dan tanggungjawab berat yang perlu disempurnakan mengikut lunas-lunas syarak dalam Islam. Justeru, penulis membawa satu perbahasan fiqh al-Mar'āh (فقه المرأة) atau fiqh wanita yang juga merupakan satu perbahasan ilmu yang membicarakan tentang hukum-hukum syarak terhadap wanita Islam yang berupa amalan dan diambil daripada dalil-dalil syarak seperti al-Quran dan hadis-hadis sahih yang dihuraikan dengan terang dan terperinci.


TĀHĀRĀH

Tāhārāh (طهارة) adalah merupakan satu kata dasar yang diambil daripada bahasa arab tāhura (طهر) yang memberi maksud kesucian dan kebersihan. Daripada sudut istilah syarak pula, Tāhārāh difahami sebagai kesucian dan bersihnya sesuatu daripada kekotoran dan sebarang najis yang boleh memberi kesan terhadap ibadah. Tāhārāh dalam perbahasan penulis Haya Binti Mubarok Al-Barik pula ertinya bersih lagi suci manakala menurut hukum syariatnya adalah menghilangkan hadas atau najis.

Tāhārāh adalah perkara asas bagi semua ibadah bādāniah seseorang muslim dan muslimah sama ada ibadah solat, puasa ataupun haji. Alat untuk bersuci ialah air, tanah dan batu. Hukum bersuci daripada hadas dan najis adalah wajib sehingga disyariatkan kepada setiap muslim itu sekiranya tidak didapati sumber-sumber daripada air maka hendaklah bertayamum. Islam mengajak umatnya agar bersuci dari segi lahir, batin dan segala-galanya, berdasarkan firman Allah s.w.t;

إِنَّ اللّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ ﴿٢۲۲

Maksudnya:

"Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat
dan menyukai orang-orang yang menyucikan diri"

Al-Baqarah (2): 222

Apabila air tidak cukup untuk mandi dan berwuduk, maka syariat Islam memerintahkan supaya melakukan taharah secara ma'nāwì iaitu dengan bertayamum. Kerana itu Allah s.w.t menjadikan kesucian (tāhārāh) yang sempurna menjadi salah satu syarat sahnya solat. Rasulullah s.a.w ada bersabda;

أخبرنا ‏ ‏قتيبة ‏ ‏قال حدثنا ‏ ‏أبو عوانة ‏ ‏عن ‏ ‏قتادة ‏ ‏عن ‏ ‏أبي المليح ‏ ‏عن ‏ ‏أبيه ‏
قال: قال رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم،‏ "‏لا يقبل الله صلاة بغير طهور"

Maksudnya:

Dikhabarkan Qutaibah berkata Daripada Abu Awanah daripada Qatadah daripada Abi al-Malihh daripada ayahnya berkata; Bersabda Rasulullah s.a.w; "Tidak diterima Allah sesuatu sembahyang dengan tidak bersuci"

Wuduk

Wuduk adalah suatu bentuk bersuci yang diwajibkan untuk menghilangkan hadas kecil misalnya kerana membuang air kecil, membuang air besar, keluar angin dan tidur nyenyak. Fardhu wuduk ada empat, iaitu;

1) Membasuh muka.
2) Membasuh kedua-dua tangan hingga ke siku.
3) Membasuh kepala.
4) Membasuh kedua kaki hingga ke buku lali.
5) Manakala sunat-sunat wujud terdapat lima, iaitu;
6) Membaca bismillah.
7) Mencuci dua telapak sebelum dimasukkan ke dalam air.
8) Berkumur-kumur.
9) Memasukkan air ke dalam hidung.
10) Mengusap kedua telinga.

Tatacara berwuduk yang disyariatkan ke atas setiap wanita sebelum menunaikan solat adalah pertama, berniat wuduk di dalam hati tanpa diucapkan dengan lisan. Kedua, mengucapkan bismillāh (باسم الله), ketiga, membasuh kedua belah tapak tangan sebanyak tiga kali. Keempat, berkumur dan beristinsyaq iaitu memasukkan sedikit air ke dalam hidung dan mengeluarkannya kembali sebanyak tiga kali. Kelima, membasuh muka sebanyak tiga kali antara telinga kanan dan telinga kiri serta sehingga hujung dagu. Keenam, mengusap bahagian hujung kepala sekali basuhan air, dan ketujuh adalah membasuh kedua kaki sebanyak tiga kali dimulai dengan kaki kanan dan kemudian kaki kiri.

Niat Wuduk Yang Betul Terutamanya Bagi Wanita Yang Berhadas

Memasang niat ada bersama lafaznya. Di antaranya sebagai contoh:
1.
Ertinya: Sahaja aku mengambil wuduk kerana Allah Tāalā

2.
Ertinya: Sahaja aku mengambil fardhu wuduk kerana Allah Tāalā

3.
Ertinya: Sahaja aku mengangkat hadas kecil kerana Allah Tāalā

Berniat mengikut lafaz yang pertama hukumnya sah dan wuduknya sunat. Sah digunakan untuk ibadah sunat seperti solat sunat, membaca al-Quran, tāwāf sunat, sujud tilāwāh dan lain-lain. Berniat mengikut lafaz yang kedua adalah sah dan boleh digunakan untuk semua ibadah fardhu atau ibadah sunat dan tawaf berulang-ulang kali selagi tidak batal wuduknya.

Niat yang ketiga juga hukumnya sah dan boleh digunakan untuk semua ibadah fardhu dan sunat berulang-ulang kali, namun menggunakan niat yang ketiga tidak sah bagi orang-orang termasuk dalam golongan yang berhadas. Ini kerana mereka sentiasa dalam keadaan berhadas. Hadas mereka tidak terangkat. Secara tidak lansung menjadikan wuduknya tidak sah.

Sudah menjadi fitrah wanita suka akan kecantikan. Oleh sebab itulah ramai di antara mereka yang minat untuk berinai dan mewarnakan kuku. Namun, fitrah ini perlu dikawal supaya tidak menghalang seseorang wanita itu beribadah kepada Allah dengan sempurna. Jika pewarna kuku tersebut adalah bersimpang daripada apa yang telah ditetapkan oleh syarak selain inai, maka hendaklah seseorang wanita itu menghilangkan warna di kukunya supaya air wuduk dapat mengenai seluruh kawasan kuku dan jari jemarinya.

Begitu juga halnya dengan hukum menyambung rambut ataupun dalam istilah yang biasa ialah memakai rambut palsu. Haram hukumnya jika seseorang wanita memakai rambut palsu yang termasuk di dalamnya adalah wig, konde palsu, cemara dan sebagainya kerana ia akan menghalangi air ketika berwuduk dan ketika mandi.




Tayāmum

Tayāmum adalah merupakan salah satu daripada istilah yang di ambil daripada bahasa arab yang bermaksud gerakan menyapukan tanah yang berdebu dengan tapak tangan ke seluruh muka dan kepada kedua tangan. Ia adalah sebagai pengganti wudhu ataupun mandi junub. Tayāmum ini hanya semata-mata untuk mengerjakan solat sahaja dengan sebab waktu solat telah tiba sedangkan air tidak dijumpai. Kalau air sudah dijumpai, maka kita tidak boleh lagi bertayamum. Orang yang bertayamum untuk mengganti mandi junub, hendaklah mandi semula apabila sudah mendapatkan air.

Bertayamum hendaklah dengan tanah suci yang berdebu. Boleh juga bertayamum dengan pasir halus atau batu yang telah dihancurkan menjadi tepung (seperti tepung atau debu yang kita yakin tidak kotor). Boleh juga bertayamum dengan menekankan kedua telapak tangan kita ke bumi lalu dihembus kerana bumi itu dijadikan Tuhan suci bagi kita. Tayāmum adalah suatu bentuk kewajipan bersuci dengan menggunakan debu sebagai ganti wuduk dan mandi hadas. Tayāmum diperuntukkan bagi orang yang tidak mendapatkan air atau akan mendapatkan mudhārāt (bahaya) jika menggunakannya. Syarat-syarat tayamum ada lima, iaitu;
a) Terhalang mencari air sebab sakit atau bermusafir.
b) Sudah tiba waktu solat tetapi masih belum menemui air.
c) Telah mencari air, tetapi ada maslahah lain seperti minum dan
d) Debu yang dipakai harus suci dan tidak bercampur dengan kapur atau
pasir.

Rukun tayamum pula terbahagi kepada dua, iaitu;
a) Mengusap keseluruhan muka dengan mengenai pangkal telinga kanan
dan kiri serta hujung dagu.
b) Mengusap kedua belah tangan sehingga ke siku.

Antara perkara-perkara sunat yang dituntut ketika bertayamum adalah dengan memulakan tayamum dengan membaca bismillāh, mendahulukan anggota kanan sebelum anggota kiri dan dilakukan secara berturut-turut. Perlu diberi perhatian oleh setiap para wanita ketika bertayamum adalah perkara-perkara yang boleh membatalkan tayamum iaitu setiap perkara yang boleh membatalkan wuduk dan murtad. Tatacara bertayamum adalah dengan berniat tayamum lalu menepukkan tangan ke tanah (debu) atau ke dinding yang berdebu kemudian mengusapkannya ke muka dan kedua telapak tangan. Tayamum ini hanya dapat digunakan untuk solat fardhu sekali sahaja tayamum manakala boleh digunakan untuk melakukan solat sunat beberapa kali.


Mandi

Mandi juga adalah satu kewajipan bersuci daripada hadas besar. Ini termasuklah hadas besar yang diwajibkan mandi terutama kepada kaum wanita seperti keluarnya darah haid dan nifas dari farajnya, melahirkan anak tanpa darah, jenazah seorang yang muslim, seorang kafir yang memeluk agama Islam dan mandi janabah atau mandi kerana persetubuhan yang terjadi pada dua keadaan sama ada dengan jimā' mahupun keluar mani.

Tatacara mandi adalah dengan berniat dalam hati tanpa perlu diucapkan, membaca kalimah bismillāh, melakukan wuduk secara sempurna, dan membasahi kepala dengan air serta keseluruh tubuh badan. Mandi janabah bagi seseorang wanita tidak diwajibkan membuka ikatan rambut apabila mandi janabah tetapi ia diwajibkan ketika mandi wajib haid dan nifas. Dalam hal lain pula, disunatkan kepada wanita supaya ketika mandi haid dan nifas dengan mengambil sepotong kapas atau seumpamanya lalu mencalitkannya dengan haruman-haruman lalu menggosokannya keseluruh bahagian tubuh yang terkena darah untuk menghilangkan bau amis.


Mandi Wajib Yang Sempurna

Berikut adalah merupakan cara-cara mandi wajib yang sempurna;

Langkah pertama
Baca bismillāh sambil menghadirkan niat di dalam hati (iaitu niat melakukan mandi wajib atau niat menghilangkan hadas). Kemudian basuh kedua tangan sebanyak tiga kali.

Langkah ke dua
Dengan menggunakan tangan kiri, basuh kemaluan (depan dan belakang) dan bersihkan najis atau kekotoran di badan jika ada.

Langkah ke tiga
Ambil wuduk dengan sempurna sebagaimana wuduk untuk mengerjakan solat. Jika ingin menangguhkan basuhan kaki ke hujung mandi diharuskan.

Langkah ke empat
Mandian dimulakan di bahagian kepala terlebih dahulu. Ambilkan air dan selati celah-celah rambut dengan jari-jari hingga rata air di kulit kepala dan akar-akar rambut. Setelah itu jiruskan air ke atas kepala dan ulanginya sebanyak tiga kali cebukan.

Langkah ke lima
Mulakan dengan menjirus air ke sebelah kanan terlebih dahulu, kemudian diikuti ke anggota sebelah kiri. Semasa mandi, tangan hendaklah menggosok-gosok badan terutamanya bahagian-bahagian yang berlipat kerana dikhuatiri tidak sampai air jika tidak digosok.

Langkah ke enam
Akhiri mandian dengan membasuh kedua kaki dan menggosok dicelah-celah jarinya. Menurut mazhab Imam Syafie, apabila selesai mandian, disunatkan membaca doa sebagaimana doa yang sunat dibaca selepas mengambil wuduk.

Menurut mazhab Imam Syafie, jika air dapat membasahi rambut dan dapat sampai ke kulit kepala tanpa merungkainya, maka tidak wajib merungkainya. Jika tidak, wajiblah ia merungkai dandanan atau sangggulnya. Namun, yang penting ialah memastikan air mengenai rambut dan kulit kepala.

Menurut Imam Ahmad, jika mandi kerana junub, tidak wajib merungkai sanggul atau dandanan itu. Tetapi jika mandi kerana haid, wajiblah dirungkaikannya. Rasulullah s.a.w ada meriwayatkan;

حدثنا ‏ ‏أبو بكر بن أبي شيبة ‏ ‏حدثنا ‏ ‏سفيان بن عيينة ‏ ‏عن ‏ ‏أيوب بن موسى ‏ ‏عن ‏ ‏سعيد بن أبي سعيد المقبري ‏ ‏عن ‏ ‏عبد الله بن رافع ‏ ‏عن ‏ ‏أم سلمة ‏ ‏قالت: ‏قلت "يا رسول الله إني امرأة أشد ضفر رأسي أفأنقضه لغسل الجنابة". فقال ‏"‏إنما يكفيك أن ‏ ‏ تحثي ‏ ‏عليه ثلاث‏ حثيات‏ ‏من ماء ثم تفيضي عليك من الماء فتطهرين"

Maksudnya;

Daripada Abu Bakar bin Abi Syaibah daripada Sufian bin Aiyinah daripada Ayub bin Musa daripada Said bin Abi Said Al-Muqbiri daripada Abdullah bin Rafi' daripada Ummu Salamah r.a berkata; Aku pernah bertanya; Ya Rasulullah, sesungguhnya aku seorang yang berambut sangat bergumpal-gumpal, apakah akan aku buka gumpalan itu untuk mandi junub? Rasulullah menjawab: Tidak, hanya cukuplah jika engkau tumpahkan saja air di atas kepalamu tiga kali, kemudian engkau tumpahkan saja air di atas kepalamu tiga kali, kemudian engkau tuangkan air itu di atas badanmu, maka setelah itu sucilah engkau"




Darah Haid, Nifas dan Istihādhāh

Darah yang keluar dari faraj wanita terbahagi kepada tiga iaitu darah haid, darah nifas dan darah istihādhāh. Darah haid ialah darah yang keluar daripada rahim seseorang wanita yang sihat melalui farajnya, bukan kerana melahirkan anak dan bukan kerana pecahnya kulit perawan atau selaput daranya. Umumnya, haid terjadi sejak wanita mulai baligh, lebih kurang pada usia sembilan hingga tiga belas tahun. Warna darah haid kebiasaannya merah kekuningan, keruh atau pertengahan antara hitam dan putih.

Darah nifas pula ialah darah yang keluar daripada faraj seorang wanita sesudah melahirkan anak. Darah nifas tidak ada batasan waktu yang tertentu tetapi tempoh yang paling lama adalah antara empat puluh hari hingga enam puluh hari. Apabila seseorang wanita melahirkan anak tanpa darah atau terus berhenti maka tempoh nifasnya telah berhenti dan wajib ke atasnya menunaikan kewajipan seperti wanita-wanita suci yang lain.

Darah istihādhāh ialah darah yang keluar dari bawah rahim seseorang wanita pada waktu datangnya haid atau nifas secara berterusan sehingga ke tempoh kebiasaannya. Hukum yang berlaku bagi wanita yang mengalami istihadhah ialah apabila pada waktu sebelumnya seseorang wanita itu telah mengalami tempoh haid yang teratur dan masih mengingati waktu datangnya haid tersebut berdasarkan kebiasaannya dan menentukan masa haidnya sekarang. Namun, jika masa sebelumnya haid seseorang wanita sebelum tidak teratur, ataupun teratur tetapi terlupa maka haruslah ke atas wanita tersebut memperhatikan darah haidnya. Apabila darah tersebut kehitam-hitaman itulah masa haidnya tetapi apabila darah tersebut berhenti dalam keadaan warnya masih kehitam-hitaman, hendaklah dia mandi dan menjalankan kewajipannya seperti mana wanita suci yang lain.

Cara membersihkan pakaian yang terkena darah haid ialah dengan membuang atau mengikis sisa darah yang melekat pada pakaian dengan air. Wanita yang mengalami haid dan nifas ini adalah dilarang ke atas mereka untuk bersetubuh, solat, puasa, 'iktikāf, memasuki masjid, membaca al-Quran dan menyentuh mashafnya serta tawaf di Baitullah. Namun begitu wanita yang mengalami haid dan nifas digalakkan supaya banyak berzikir selain hukum ihram dan wūqūf di Arafah serta melakukan semua ibadah haji dan umrah selain tāwāf di Baitullah.

Wanita yang kedatangan haid dan nifas, apabila kering darah haid atau darah nifas, wajib mereka mandi sebelum menunaikan solat atau sebelum diharuskan suaminya menyetubuhinya berdalilkan firmanNya;

وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الْمَحِيضِ قُلْ هُوَ أَذًى فَاعْتَزِلُواْ النِّسَاء فِي الْمَحِيضِ وَلاَ تَقْرَبُوهُنَّ
حَتَّىَ يَطْهُرْنَ فَإِذَا تَطَهَّرْنَ فَأْتُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ أَمَرَكُمُ اللّهُ إِنَّ اللّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ
وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ ﴿٢۲۲

Maksudnya;

“Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: ‘Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat’. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri”.

Al-Baqarah (2) : 222


Istinja'

Istilah istinjā' (اسنتجاء) adalah istilah bahasa arab yang bermaksud membersihkan qubul dan dubur setelah membuang air. Hukum beristinja' adalah wajib ke atas setiap wanita. Sebaik-baik istinjā' dimulai dengan batu, kemudian diikuti dengan air. Ada sesetengah pendapat mengatakan bahawa dibolehkan hanya dengan mencukupkan sahaja dengan air dan dengan tiga biji batu yang dapat membersihkan sekitar qubul dan dubur tetapi jika ingin mencukupkan salah satunya sahaja, maka sebaik-baik istinjā' adalah menggunakan air. Antara larangan ketika membuang air adalah dengan bercakap-cakap, serta menghadap atau membelakangi kiblat. Perbuatan ini amatlah dilarang kerana kiblat adalah punca utama seseorang yang beragama Islam menunaikan solat ataupun berdoa. Larangan lain adalah membuang air di dalam air yang tenang, di bawah pohon yang berbuah, dan di tempat yang sentiasa dilalui orang, di tempat berteduh, dan di lubang serangga.



SOLAT

Tiap-tiap manusia yang beragama adalah mengamalkan penyembahan, ada yang menyembah alam semulajadi seperti matahari, bulan, bintang, batu dan sebagainya. Mereka menyembah benda-benda tersebut sebagai tanda berterima kasih kerana permohonan mereka di kabulkan atau memohon dihindarkan daripada malapetaka serta apa yang mereka takutkan kerana sesuatu itu lebih berkuasa daripadanya.

Penyembahan ini adalah didorong oleh iblis. Namun dalam Islam, solat adalah salah satu daripada rukun Islam yang lima, yang wajib ditunaikan oleh setiap individu muslim mengikut syarat rukun yang tertentu. Solat adalah merupakan komunikasi atau hubungan langsung di antara seseorang hamba dengan Allah s.w.t serta menjadi dalam tiang agama Islam. Sabda Rasulullah s.a.w:

عن أنس رضي الله عنه قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم، "إذا كان احدكم في صلاته فإنه يناجى ربه"

Maksudnya;

Daripada Anas r.a ia berkata; Bersabda Rasulullah s.a.w; Sesungguhnya salah seorang di antara kamu apabila berada di dalam sembahyang, maka sesungguhnya ia berbisik-bisik dengan Tuhannya"

Solat dalam erti yang asal ialah doa kebaikan, dan menurut bahasanya dalam syariat ialah perbuatan mengabdikan diri kepada Allah s.w.t yang berupa perbuatan atau dengan perkataan yang dimulai dengan takbir (mengucapkan Allahu Akbār) dan diakhiri dengan lafaz salam (mengucapkan Assalamūālaikum warahmātullahi wābārākātuh). Setiap wanita muslim yang baligh lagi berakal wajib mengerjakan solat lima waktu dalam sehari semalam. Solat merupakan perintah Allah s.w.t yang menjamin kehidupan dan memelihara hubungan baik manusia dengan penciptanya. Firman Allah s.w.t dalam surah al-Hud;

وَأَقِمِ الصَّلاَةَ طَرَفَيِ النَّهَارِ وَزُلَفًا مِّنَ اللَّيْلِ إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّـيِّئَاتِ ذَلِكَ ذِكْرَى لِلذَّاكِرِينَ ﴿١١٤﴾

Maksudnya;

"Dan dirikanlah solat pada dua penghujung siang dan sebahagian dari waktu malam. Sesungguhnya kebajikan itu dapat menghapus kejahatan"

Al-Hud (11) : 114

Antara syarat-syarat wajib sahnya solat ialah;
1) Beragama Islam.
2) Baligh (cukup umur).
3) Berakal.
4) Suci daripada haid dan nifas.
5) Sampai dakwah atau seruan Islam padanya.
6) Mempunyai pendengaran dan penglihatan.
7) Sedar, tidak terlupa atau tertidur.


Antara syarat-syarat sah solat pula ialah;
1) Suci seluruh tubuh badan, pakaian dan tempat dari najis.
2) Berwuduk.
3) Ditunaikan dalam waktunya.
4) Menutup aurat dengan sempurna keseluruhan tubuh kecuali muka dan
telapan tangan.
5) Menghadap kiblat (Ka'ābah)


Solat Wajib dan Solat Sunat

Solat yang diwajibkan ke atas setiap Muslim itu adalah lima waktu sehari semalam iaitu solat fardhu zohor yang ditunaikan sebanyak empat rakāāt dalam waktu mulai tergelincirnya matahari, solat fardhu asar yang ditunaikan sebanyak empat rakaat sebaik habis waktu zohor dan sehingga hampir terbenamnya matahari, solat maghrib solat fardhu maghrib yang ditunaikan sebanyak tiga rakaat mulai terbenamnya matahari sampai hilangnya cahaya kemerah-merahan di langit, solat isya' yang ditunaikan sebanyak empat rakaat mulai berakhirnya waktu maghrib hingga terbit fajar sādiq dan solat subuh yang ditunaikan sebanyak dua rakaat mulai terbitnya fajar sadiq hingga terbit terbit matahari.




Wanita dalam Solat

Solat diwajibkan ke atas setiap muslimah yang baligh dan berakal, yang suci daripada haid dan nifas. Justeru, solat perlulah dikerjakan seawal waktu yang boleh selagi tiada keuzuran. Namun, ada keuzuran tertentu yang boleh diterima apabila sesorang itu melambatkan solat iaitu;

1. Tidur;
Seseorang itu tertidur dan hilang waktu solat sedangkan dia masih tidur. Maka jika tidurnya itu adalah sebelum masuk waktu, dia tidak berdosa. Tetapi, jika tidur itu sudah masuk waktu dan dia mampu bangun sebelum luput waktu solat itu, maka tidurnya itu dikira waktu uzurnya. Akan tetapi, jika dia mengetahui dia susah untuk bangun sebelum luput waktu dan diteruskan juga tidurnya itu, maka tidurnya itu tidak dikira waktu uzur .

2. Lupa;
Adalah dikira uzur sekiranya dia sibuk dengan urusan-urusan yang tidak ditegah oleh syarak seperti membaca al-Quran, mengajar kitab-kitab ilmu atau mengajar agama dan sebagainya ataupun seseorang itu sibuk dengan pekerjaan seperti bekerja mencari nafkah, memasak, menguruskan anak dan sebagainya. Akan tetapi sekiranya dia lupa kerana sebab-sebab yang ditegah oleh syarak, maka tiada baginya uzur, yakni seperti sibuk dengan bersuka-bersuka atau bermain dan sebagainya .

Bagi setiap solat itu ada syarat-syarat, rukun-rukun ab-ādh dan sunat-sunatnya. Maka sewajarnyalah bagi setiap muslimah untuk menjaga serta tidak meninggalkan segala syarat dan rukun-rukun solat tersebut. Apabila seorang wanita yang menunaikan solat itu meninggalkan salah satu syarat daripada syarat-syarat solatnya, maka terbatallah solatnya.


Hukum-hakam dalam Solat

Terdapat beberapa rukun, perkara sunat dan perkara yang makruh yang membatalkan solat. Perkara-perkara rukun solat adalah berniat dalam hati di samping mengerjakan solat kerana Allah, berdiri bagi yang berkuasa, takbirātul ihrām (membaca Allahuakbār) pada permulaan solat, ruku' dengan tumā'nināh (berhenti dan tenang sebentar), sujud dua kali dengan tumā'nināh, duduk di antara dua sujud dengan tuma'ninah, duduk yang akhir, membaca tasyahud akhir pada duduk yang akhir, membaca selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w, memberi salam yang pertama ke kanan serta tertib.

Para wanita juga amat digalakkan melakukan perkara-perkara sunat yang lain seperti mengangkat kedua-dua tangan semasa takbiratul ihram kira-kira setinggi dua pundak iaitu tidak melebihi paras bahu. Selain itu, adalah disunatkan membaca salah satu surah daripada al-Quran pada rakaat pertama dan kedua serta membaca takbir pada setiap perpindahan turun dan bangkit kecuali ketika hendak i'tidal bersama bacaan "Sami'a Allahu limān hāmidah" dan diteruskan dengan membaca "Rabbānā lā kāl hāmdu".

Banyak lagi amalan sunat yang digalakkan ketika menunaikan solat, namun perlu diberikan perhatian kepada perkara-perkara yang makruh ketika menunaikan solat supaya solat yang dikerjakan dapat diterima oleh Allah s.w.t. Antara perkara makruh dalam solat seperti menoleh dengan kepala atau melirik, ataupun mengadah ke langit serta makruh apabila mngenakan atau membawa sesuatu yang berat sehingga menyibukkan, atau pakaian berwarna-warni sehingga menarik perhatian mata. Wanita juga tidak boleh menampakkan bahagian-bahagian tubuh yang diberikan oleh Allah s.w.t selain muka dan tapak tangan ketika menunaikan solat.

Ummul Mukminin Aishah R.a juga ada berkata kepada seluruh wanita mukmin agar menjaga pakaian ketika menunaikan solat. Pakaian yang dituntut adalah terdiri daripada tiga iaitu dira' iaitu baju yang dikenakan melalui leher sehingga menutupi seluruh badan, khimar iaitu kain yang menutup kepala dan tidak disyariatkan menutup muka. Harus menutup kedua telapak kaki sekalipun tidak wajib mengulang solat seandainya terbuka dengan sengaja. Tidak boleh solat dengan pakaian yang tipis dan tembus pandang, sekalipun auratnya tidak kelihatan kecuali apabila diperhatikan bersungguh-sungguh. Solat dengan pakaian seperti itu adalah makruh dan harus untuk mengulang sebelum habis waktu.


ZAKAT

Zakat merupakan rukun ketiga daripada rukun Islam yang lima. Erti zakat menurut bahasa ialah suci atau bersih tāhir (طاهر) dan bertambah (al-nāmāa'). Zakat menurut istilah syarak ialah memberikan atau menyerahkan sejumlah harta tertentu kepada orang yang berhak dengan syarat-syarat tertentu. Zakat diwajibkan ke atas semua kaum muslimin dan muslimat. Ia adalah mutlak, tidak dapat ditawar-tawar seumpama juga perkara wajib yang lain. Firman Allah s.w.t;

وَآتُواْ الزَّكَاةَ...﴿٤٣

Maksudnya;
"Dan tunaikanlah zakat antara kamu..."
Al-Baqarah (2) : 43

Manakala sebuah hadis daripada Rasulullah s.a.w ada menyebut tentang kewajipan mengeluarkan zakat pada waktunya iaitu pada akhir bulan Ramadhan;

حدثني ‏ ‏يحيى ‏ ‏عن ‏ ‏مالك ‏ ‏عن ‏ ‏نافع ‏ ‏عن ‏ ‏عبد الله بن عمر، "أن رسول الله ‏ ‏ صلى الله عليه وسلم ‏فرض زكاة الفطر من رمضان على الناس‏‏ صاعا ‏‏من تمر أو صاعا من شعير على كل حر أو عبد ذكر أو أنثى من المسلمين"

Maksudnya;
Disampaikan kepada Yahya, daripada Malik daripada Nafi' daripada Abdullah Bin Ibnu Umar berkata: "Sesungguhnya telah mewajibkan oleh Rasulullah s.a.w zakat fitrah di bulan Ramadhan atas tiap orang, satu gantang tamar atau satu gantang gandum setiap seorang hamba lelaki dan perempuan muslim"


Zakat Fitrah atas Wanita

Syarat-syarat wajib zakat adalah seorang yang Islam, merdeka dan barang yang ingin dikeluarkan zakat itu merupakan hak milik yang sempurna, ada satu nisab atau batas yang tertentu ketika mengeluarkan zakat serta cukup haul iaitu sudah atau sampai satu tahun. Zakat pula terbahagi kepada dua iaitu zakat fitrah yakni zakat yang wajib ke atas setiap muslim termasuk anak-anak yang menjadi tanggungan orang dewasa contohnya seperti setiap jiwa diwajibkan membayar 2.5 kilogram beras atau makanan asasi yang lain. Pembahagian zakat yang kedua ialah zakat mal iaitu zakat kekayaan seperti zakat harta kekayaan yang dimiliki

Wanita yang memiliki perhiasan kerana untuk berhias adalah tidak wajib zakat ke atasnya tetapi jika wanita yang memiliki perhiasan untuk disimpan dan tidak digunakan untuk satu keutamaan, maka fungsi perhiasan tersebut telah berubah menjadi wang simpanan kerana perhiasan itu bukan lagi atas niat untuk berhias justeru wajiblah ke atas wanita menzakatkannya.

Sekalipun zakat perhiasan daripada emas dan perak, iaitu perhiasan emas yang telah sampai 200 dirham beratnya, maka wajib juga dikeluarkan zakatnya menurut aturan zakat emas dan perak pula, dengan alasan hadis Rasulullah s.a.w;

‏ ‏عن ‏ ‏عمرو بن شعيب ‏ ‏عن ‏ ‏أبيه ‏ فقال لها‏ ومعها ابنة لها وفي يد ابنتها ‏ ‏مسكتان ‏ ‏غليظتان من ذهب "أتعطين زكاة هذا؟" قالت "لا" قال ‏ "‏أيسرك أن يسورك الله بهما يوم القيامة سوارين من نار" قال "فخلعتهما فألقتهما إلى النبي ‏ ‏صلى الله عليه وسلم" ‏ ‏وقالت "هما لله عز وجل ولرسوله"

Maksudnya;
Daripada Umar bin Syuaib r.a daripada bapanya berkata "Sesungguhnya ada seorang perempuan datang kepada Nabi s.a.w dan sertanya ada seorang anaknya perempuan. Pada kedua belah tangan anak perempuannya itu ada dua perhiasan gelang emas yang tebal kelihatannya. Maka Rasulullah s.a.w bersabda kepadanya: "Apakah kau keluarkan zakat ini?" Ia menjawab: "Tidak" Rasulullah s.a.w bersabda pula: "Apakah engkau mahu diberi gelang oleh Allah iaitu gelang daripada api neraka pada hari kiamat tersebab dengan gelang yang dua ini?" Maka ditinggalkan gelang itu, lalu diberikannya kepada Rasulullah s.a.w sambil berkata; "Kedua-duanya ini kepunyaan Allah dan RasulNya"


Malah mahar yang diterima oleh wanita yang sudah berkahwin juga wajib dizakatkan atas ketentuan pihak wanita telah menerima seluruh mahar dengan sempurna dan dengan syarat mahar yang diterima itu sampai satu nisab emas serta cukup setahun dari tempoh terimanya zakat.


PUASA

Dalam bahasa arab, puasa disebut sebagai shāum (صوم) yang bermaksud menahan daripada segala sesuatu. Manakala dari sudut fiqh Islam, yang dikatakan puasa itu ialah menahan diri daripada sesuatu yang membatalkan puasa mulai dari terbit fajar hingga terbenam matahari dengan niat dan syarat-syarat tertentu. Ketentuan ini berdasarkan firman Allah s.w.t;

وَكُلُواْ وَاشْرَبُواْ حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ﴿١٨٧

Maksudnya;
"Makanlah dan minumlah kamu, hingga jelas kelihatan benang putih dan benang hitam iaitu fajar"

Al-Baqarah (2): 186

Terdapat empat jenis puasa dalam Islam iaitu puasa wajib iaitu puasa pada bulan Ramadhan, puasa kifārāh (denda) dan puasa nazar, puasa-puasa sunat, puasa yang makruh dan puasa yang diharamkan. Puasa diwajibkan ke atas semua muslim berdasarkan syarat-syarat tertentu iaitu Islam, bāligh (dewasa), berakal dan berkemampuan untuk berpuasa. Rukun puasa terdiri daripada niat, meninggalkan makan, meninggalkan minuman, meninggalkan jimā' (bersetubuh) bagi suami dan isteri di siang hari dan menjaga daripada muntah secara sengaja. Puasa adalah merupakan suatu ibadah wajib kepada Allah s.w.t, justeru itu wajib lah kita sebagai hambanya mengerjakan ibadah puasa ini sebaik-baiknya dan menjaganya daripada terbatal. Puasa seseorang wanita itu terbatal apabila masuknya sesuatu ke dalam perut, tekak, qubul mahupun dubur, muntah dengan sengaja, bersetubuh di siang hari bagi suami dan isteri, mengalami mentsruasi (keluar darah haid), keluar darah nifas, gila dan murtad dari Islam.


Wajib Puasa Wanita yang Suci

Seseorang wanita wajib berbuka puasa apabila keluarnya darah haid atau nifas dan hukum berpuasa baginya adalah haram sepanjang tempoh tersebut kerana di antara syarat-syarat wajib puasa bagi wanita ialah suci daripada darah haid atau nifas. Maka, tidaklah sah wanita yang sedang mengalami haid atau nifas meneruskan puasanya. Namun, wanita yang tidak berpuasa wajib menggantikan puasanya (qādhā) sesudah tamat tempoh keluarnya darah itu.

Menurut mazhab Maliki, terdapat satu keadaan di mana wanita perlu juga membayar kafarah puasa iaitu dalam keadaan apabila seseorang wanita itu menyangka bahawa dia akan datang haid pada keesokan hari berpuasa walhal tidak. Sungguhpun dia betul-betul datang haid pada keesokan harinya itu, dia tetap diwajibkan membayar kafarah puasa.


Puasa Wanita Hamil

Terdapat keringanan atau rukhsāh bagi wanita yang hamil dan akan melahirkan anak untuk tidak berpuasa pada bulan Ramadhan. Firman Allah s.w.t;

فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ ﴿١٨٤



Maksudnya;

"…dan untuk orang-orang yang sangat berat baginya mengerjakan puasa itu, hendaklah ia membayar fidyah memberi makan orang miskin, "

Al-Baqarah (2) : 184


Ayat al-Quran di atas jelas menunjukkan bahawa setiap manusia, orang-orang tua baik lelaki mahupun wanita yang merasa berat mengerjakan ibadah puasa dibolehkan ke atas mereka berbuka puasa tetapi digantikan dengan memberi makan kepada orang miskin sebagai satu ganti bagi puasanya yang luput pada hari tersebut. Begitu juga halnya ke atas wanita yang mengandung dan yang menyusukan bayi, apabila kedua-duanya takut janin yang dikandung atau bayi yang disusuinya sakit kerana ibunya berpuasa, maka dibolehkan bagi mereka berbuka puasa tetapi digantikan dengan member makan kepada orang miskin.

Wanita yang sedang hamil atau menyusui anak dibolehkan tidak berpuasa jika dikhuatiri akan mengakibatkan terganggunya kesihatan, baik itu akan mempengaruhi pada anak yang dikandung mahupun pada wanita yang sedang mengandung. Jika berpuasa tidak berbahaya bagi kesihatan wanita tersebut, maka sebaiknya wanita tersebut berpuasa. Akan tetapi jika puasa dikhuatiri membawa impak yang membahayakan kehamilan kepada ibu yang mengandung, maka hukum wajib berpuasa tidak lagi ditanggungnya. Mengenai bayaran fidyah atau menggantikan puasa, berikut pendapat beberapa ulama tentang wanita hamil atau menyusukan anak:

1) Jika dia khuatir puasanya dapat membahayakan kesihatannya atau kesihatan anaknya, maka boleh tidak berpuasa dan wajib menggantikan puasa tersebut di luar bulan Ramadhan tanpa membayar fidyah.

2) Jika dia khuatir puasanya dapat membahayakan kesihatan anaknya sahaja dan tidak membahayakan dengan kesihatannya sendiri, maka boleh tidak berpuasa dan wajib menggantikannya. Selain itu, sebaik-baik baginya juga adalah membayar fidyah. Ini adalah pendapat Imam Syafi'i. Sementara Imam Hanafi pula berpendapat bahawa seseorang wanita yang hamil dan menyusukan anak harus menggantikan atau qadha puasa.

3) Dalil yang memperbolehkan tidak puasa bagi wanita hamil atau menyusui anak diqiaskan dengan orang yang sedang sakit dan musafir (orang yang dalam perjalanan). Juga berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang menyatakan bahawasanya Allah memberi kemudahan kepada musafir untuk tidak berpuasa, qasar dan jamak solatnya. Begitu juga bagi orang yang sedang hamil dan menyusukan anak, dibolehkan baginya untuk tidak berpuasa. . Justeru, sebaik-baiknya wanita hamil atau menyusukan anak itu, tidak berpuasa kerana bimbang puasa tersebut akan mengakibatkan terganggunya kesihatan ibu yang sedang hamil dan janin yang sedang dikandungnya.

4) Ibnu Abbas, Ibnu Umar dan Said bin Jubair (Sahabat r.a) menyatakan wanita hamil dan menyusukan anak dibolehkan membayar fidyah sahaja tanpa harus menggantikan puasanya kerana puasa gantinya itu sendiri dibatasi sehingga sebelum datangnya bulan Ramadhan yang berikutnya. Jika sampai tahun berikutnya tetapi wanita tersebut tetap tidak mampu menggantikan puasanya, maka dibolehkan dengan membayar fidyah sahaja.


HAJI DAN UMRAH

Ibadah haji merupakan suatu kewajipan bagi seluruh umat Islam yang sudah sanggup untuk melaksanakannya, baik secara jasmani mahupun secara rohani. Sanggup yang dimaksudkan disini menunjukkan kepada kesanggupan untuk menyediakan bekal selama diperjalanan sampai pulang ke negerinya kembali. Begitu juga sanggup yang dimaksudkan bererti mempunyai harta untuk keluarga yang ditinggalkannya selama melaksanakan ibadah haji.

Haji merupakan salah satu rukun Islam. Islam sangat menganjurkan kepada umatnya untuk melaksanakan ibadah haji tersebut. Rasulullah SAW dalam hadisnya pernah berkata, barang siapa yang melaksanakan ibadah haji, kemudian tidak berkata kotor dan tidak berbuat kefasikan, akan dibersihkan dosa-dosanya, sebagaimana waktu ia baru dilahirkan oleh ibunya. Firman Allah s.w.t;

فِيهِ آيَاتٌ بَيِّـنَاتٌ مَّقَامُ إِبْرَاهِيمَ وَمَن دَخَلَهُ كَانَ آمِنًا وَلِلّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلاً وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ الله غَنِيٌّ عَنِ الْعَالَمِينَ ﴿٩٧
Maksudnya;

"Padanya terdapat tanda-tanda yang nyata (diantaranya) makam Ibrahim, barang siapa memasukinya (Baitullah itu) menjadi amanlah dia, mengerjakan haji adalah kewajiban manusia terhadap Allah, yaitu (bagi) orang yang sanggup mengedakan perjalanan ke Baitullah, Barang siapa mengingkari (kewajiban haji), maka sesungguhnya Allah maha kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam".

Āli-'Imrān (3) : 97


Jihād Wanita Haji Mābrur

Ibadah haji adalah kewajipan yang dituntut ke atas umat Islam yang memenuhi syarat-syaratnya sama ada lelaki atau wanita. Bagi wanita, haji adalah satu jihād. Untuk memperoleh haji mabrur memerlukan kefahaman serta penghayatan yang tulus ikhlas. Jemaah haji wanita perlu memahami hukum-hakam serta permasalahan berkaitan kewanitaan seperti mahram, haid, nifas, istihadah dan iddah. Perkara itu bukanlah penghalang kepada haji mabrur atau mengganggu ibadat haji seseorang wanita. Namun, jika tidak difahami dan diperingatkan, mungkin akan timbul kekeliruan atau salah faham yang mengakibatkan terjejasnya ibadat haji atau umrah. Terdapat beberapa masalah berkaitan dengan jemaah haji wanita:

a. Mahrām

Syarat wajib haji bagi wanita selain daripada Islam, baligh, berakal, merdeka dan berkemampuan ialah mendapat keizinan suami atau wali dan ditemani suami atau mahram atau kumpulan wanita yang thiqāt (dipercayai). Mereka juga mestilah tidak berada dalam iddah. Berdasarkan pendapat dalam mazhab Syafie, wanita yang tidak mendapat keizinan suami atau wali serta tidak mempunyai teman daripada kalangan mereka yang disebut di atas, tidak wajib ke atasnya menunaikan haji dan tidak berdosa walaupun dia sudah memenuhi syarat yang lain. Oleh itu, seorang wanita yang hendak pergi menunaikan haji hendaklah ditemani suami atau mahrām atau teman wanita yang dipercayai. Sepanjang berada di tanah suci, mereka tidak dinasihatkan keluar bersendirian daripada tempat tinggal sama ada ke masjid, menunaikan umrah, ziarah atau sebagainya demi menjaga keselamatan dan mengelakkan fitnah serta sebarang kemungkinan tidak diingini.

Jika seseorang jemaah wanita hendak menunaikan umrah atau ziarah, sedangkan suami atau mahramnya tidak dapat pergi bersama, maka dia hendaklah memilih teman wanita yang boleh dipercayai. Jemaah lelaki bukan mahram tidak boleh dijadikan teman untuk tujuan berkenaan.

b. Haid

Haid adalah fenomena biasa dalam kehidupan wanita. Kedatangannya pada setiap bulan satu daripada ciri kewanitaan yang tulen serta lambang kesuburannya. Haid tidak menghalang wanita daripada mengerjakan semua rukun dan wajib haji atau umrah kecuali tawaf di Baitullah.


Wanita Dalam Ibadah Haji

a) Wanita yang hendak pergi menunaikan haji hendaklah ditemani suami
atau mahram, jika tidak dia hendaklah memilih teman wanita yang boleh dipercayai.
b) Wanita yang mengerjakan Haji Tāmattū' kemungkinan haid datang sebelum atau selepas berniat ihram umrah, dia hendaklah menunggu hingga suci barulah disempurnakan umrah.
c) Wanita yang mengerjakan Haji Ifrād atau Haji Qirān, dia hendaklah
menyempurnakan semua kerja hajinya kecuali tawaf yang hanya boleh
dilakukan selepas bersuci.
d) Jika jemaah wanita berniat ihram umrah, kemudian dia didatangi haid,
maka selepas dia melihat darah tidak keluar pada hari kelima, dia bersuci
lalu pergi mengerjakan tāwāf, sā'ie dan tāhālul. Tiba-tiba pada waktu
malam dia mendapati darah haidnya keluar semula. Dalam keadaan ini
tahalulnya tidak sah.

Tidak boleh jika seseorang wanita pergi untuk menunaikan umrah, dan telah melalui Miqāt dalam keadaan haid, tetapi tidak berihram hingga berada di Makkah lalu melakukan ihram dari Makkah. Hal ini kerana bagi sesiapa sahaja yang hendak melakukan ibadah umrah tidak boleh melewati miqāt kecuali harus berihram dahulu meskipun wanita tersebut sedang haid. Terdapat satu hadis yang diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w;

حدثنا ‏ ‏وكيع ‏ ‏حدثنا ‏ ‏سفيان ‏ ‏عن ‏ ‏جابر ‏ ‏عن ‏ ‏عبد الرحمن بن الأسود ‏ ‏عن ‏ ‏أبيه ‏ ‏عن ‏ ‏عائشة ‏عن النبي ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏قال‏ "الحائض تقضي المناسك كلها إلا الطواف ‏ ‏بالبيت"

Maksudnya;
Daripada Waki' daripada Sufian bin Jabir daripada Abdul Rahman bin Aswad daripada bapanya daripada Aishah r.a ia telah berkata: Telah bersabda Rasulullah s.a.w: "Orang yang haid itu boleh menunaikan rukun semua hajinya, kecuali tawaf di Kaabah"


PERNIKAHAN

Perkahwinan atau pernikahan menurut bahasa adalah berkumpul dan bercampur. Menurut istilah syarak, ialah satu ijab-qabul ('aqād) yang menghalalkan persetubuhan antara lelaki dan perempuan, yang diucapkan dengan kata kata yang menunjukkan nikah serta menurut peraturan yang ditentukan oleh Islam.

Meminang

Disunatkan meminang terlebih dahulu bagi seseorang lelaki yang hendak menikahi wanita. Seorang muslim apabila berkehendak untuk berkahwin dan mengarahkan niatnya untuk meminang seseorang perempuan tertentu, diperbolehkan melihat perempuan tersebut sebelum melangkah ke jinjang perkahwinan, supaya dia dapat menghadapi perkahwinan itu dengan jelas dan terang dan supaya tidak tertipu. Ini adalah kerana diibaratkan mata merupakan duta kepada hati dan kemungkinan besar bertemunya mata dengan mata itu menjadi sebab dapat bertemunya hati dan berlarutnya jiwa.

Jumhur ulama berpendapat bahawa yang boleh dilihat oleh lelaki itu adalah muka dan kedua tapak tangan dan tidak boleh lain. Dengan melihat muka seseorang, akan diketahui kecantikan atau keburukannya, sedang daripada kedua tapak tangan akan diketahui pula subur badan atau tidaknya. Seandainya seorang lelaki telah melihat seorang wanita dan ia tidak berkenan kepada wanita itu, hendaklah ia menutup mulut dan tidak menceritakan sesuatu kepada orang lain agar wanita itu tidak tersinggung kerananya.

Anjuran melihat calon teman hidup ini bukanlah hanya terbatas pada pihak lelaki sahaja, tetapi juga bagi pihak perempuan. la berhak juga untuk melihat calon suaminya. Perlu diingat bahawa Islam tetap melarang lelaki dan perempuan itu berdua-duaan walaupun telah bertunang. Oleh kerana itu perempuan tersebut tetap haram bagi tunangnya sampai dilangsungkan akad nikah.



Menentukan Mahar

Mahar atau mas kahwin disebut juga sebagai sidāq (صداق), nihlah (نحلة) dan fāridāh (فاردة). Menurut istilah syarak, mahar adalah sesuatu yang diberikan oleh laki laki kepada isteri sebagai tukaran atau jaminan bagi sesuatu yang akan diterimanya daripada diri isterinya itu. Mahar itu adalah hak isteri. Banyak sedikitnya mahar itu tergantung kepada kehendak atau kemahuan isteri. Sebaliknya apabila isteri tidak menuntut sesuatu, maka hilanglah kewajipan memberinya. Kalau isteri itu senang hatinya dengan tidak perlu lagi pembayarannya, maka mahar itu boleh diambil atau digunakan sendiri. Firman Allah yang mafhumnya:

وَآتُواْ النَّسَاء صَدُقَاتِهِنَّ نِحْلَةً فَإِن طِبْنَ لَكُمْ عَن شَيْءٍ مِّنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ هَنِيئًا مَّرِيئًا ﴿٤

Maksudnya;
Dan berikanlah kepada perempuan itu mahar mereka sebagai pemberian, maka apabila mereka berbaik hati kepadamu (rela hati) tentang sesuatu yang kamu berikan itu, maka makanlah olehmu harta itu secara senang hati pula."

An-Nisa (4) : 4

Bentuk mahar adalah terpulang kepada ketentuan pihak wanita. Mungkin ia berupa mata wang, barangan, dengan bakal suami memeluk Islam, bahan makanan, dengan memerdekakan, ataupun dengan mengajarkan ayat-ayat al Qur'an yang telah dihafal kepada bakal isteri.



Ijāb Qābul

Perkara yang menjadi perbincangan utama perkahwinan itu ialah kesediaan dan persetujuan kedua pihak untuk menjalin hubungan antara mereka. Kesediaan dan persetujuan ini memastikan wujudnya ungkapan yang menyatakan tekad untuk menjalin dan mengadakan hubungan tersebut. Ucapan yang pertama kali keluar daripada pihak pertama untuk menyatakan keinginannya untuk mengadakan hubungan perkahwinan itu dikatakan ijāb. Manakala ucapan yang menyusul setelah itu daripada pihak kedua yang menyatakan kesediaan dan persetujuannya disebut qābul. Perkahwinan atau 'aqād nikah itu berlangsung jika dilakukan dengan kata-kata yang mengandungi maksud tersebut, dan disampaikan dengan bahasa yang dapat difahami oleh kedua-dua belah pihak, iaitu jika penyampaian kedua mereka itu betul menyatakan maksud perkahwinan tanpa samar samar atau keraguan.


Wālimatul Ārus

Wālimah dari segi bahasanya bererti berkumpul. Ini adalah kerana pada waktu itu berkumpulnya suami isteri. Dari sudut istilah walimah juga khusus bererti makan dalam acara pesta perkahwinan. Jumhur ulama berpendapat hukumnya adalah sunnah mu'āqqādah.

Tujuan diadakan wālimah adalah untuk mengisytiharkan pernikahan kepada orang ramai serta untuk menggembirakan hati kedua pengantin. Mengikut ajaran Nabi Muhammad s.a.w, hendaklah pernikahan itu diisytiharkan secepat mungkin dan diraikan dengan apa sahaja umpamanya dengan paluan gendang atau nasyid. Sesudah pernikahan maka disunatkan mengadakan walimah atau kenduri, sebagai tanda kegembiraan. Apabila seseorang mengadakan wālimah menyambut perkahwinan, makruh menghadkan jemputan itu kepada orang ternama atau orang orang kaya sahaja dengan menyisihkan orang orang miskin manakala apabila seseorang itu dijemput untuk menghadiri wālimah ārus, maka wajiblah ia menghadirinya, seandainya tidak ada sebarang keuzuran baginya.


Dalam kehidupan seharian, kaum wanita tidak terlepas dan tidak bebas dari menemui masalah-masalah dalam kehidupan mereka, sama ada masalah yang berkaitan dengan kebersihan diri mereka, iktikad, amalan, hubungan dengan masyarakat (mu’āsyārah), urusan dengan pihak lain (mu’āmalah) dan lain-lain lagi.

Sebagai kaum wanita Islam, mereka amat perlu mengetahui akan jawapan bagi setiap masalah ini agar mereka dapat menjalani kehidupan seharian mereka sebagai wanita Islam yang tulen, yakni wanita yang dapat menepati ciri-ciri wanita muslimah sejati. Ini kerana wanita yang ingin menjadi muslimah yang sejati hendaklah menyempurnakan segala urusan kehidupan ini sesuai dengan kehendak syariat yang telah digariskan.

Oleh sebab itu, kaum wanita tidak boleh lari daipada hakikat ini kerana permasalahan yang menyangkut diri mereka lebih kompleks dan rumit. Oleh yang demikian mereka hendaklah sentiasa melengkapkan diri mereka setiap masa dengan ilmu pengetahuan yang dapat menyempurnakan perhambaan mereka kepada Allah s.w.t.


Friday, March 5, 2010

.... "من الوصية "لا إيمان لمن لا أمانة له ، ولا دين لمن لا عهد له"

الأمانة هي مهمة حتى تجعل العرش العالي على كل الأخلاق المسلمين في ديننا. و الأمانة ضدها الخيانة. والخيانة هي من كبائر
في الإسلام . كل إنسان لا يؤدي ما يجب عليه من أمانة فهو خائن . فقال تعالى: {يا أيها الذين آمنوا لا تخونوا الله والرسول وتخونوا أمانتكم وأنتم تعلمون...} ونزل أيضا في هذا قول الله تعالى: {إن الله يأمركم أن تؤدوا الأمانات إلى أهلها...} ، من سورة النساء. وهكذا أيضا كما ذكر وقال صلى الله عليه وسلم، لا إيمان لمن لا أمانة له ، ولا دين لمن لا عهد له
فالمسلم يعطي كل ذي حق حقه . وعل الحق ، يؤدي المسلم بدنهم كحق الله في العبادة، ويحفظ جوارحه عن الحرام ، والأمر بالمعروف والنهي عن المنكر . و على سبيل المثال ، الولد هو الأمانة ، فحفظه أمانة ، ورعايته أمانة ، وتربيته أيضا أمانة. السر هو الأمانة ،فإذا إفشاؤه خيانة . وكذلك، العمل الذي توكل به يسمى بالأمانة ، ولكن إذا تضييعه فيجعل الخيانة مباشرة
هناك الأمر الذي ينبغي على المسلم بحفظ الأمانة. وأنها عامة في جميع الأمانات الواجبة على الإنسان، وهي نوعان. أولا، حفظ على
حقوق الله سبحانه وتعالى من صلاة وصيام وغير ذلك. ثانيا، حفظ على حقوق العباد كالود والدائع وغيرذلك.
فحقا ، الأمانة هي علامة من علامات الإيمان في نفوس المسامين . والخيانة أيضا من إحدى علامات النفاق. يجب على المسلم ببعيد
عن ذلك . فلا بد أن يضيع الأمانة ولا يخون إلا كل الصفات المنافق أما المسلم فهو بعيد عن ذلك