Pages

Saturday, June 12, 2010

TUNTUTAN PERKAHWINAN DI SISI ALLAH



Seperti kebiasaan rakyat Malaysia usim cuti sekolah sering jatuh pada bulan Jun. Jadi, semestinya ramai pasangan lelaki dan wanita akan memilih musim ini untuk mengadakan majlis pertunangan, akad nikah dan perkahwinan. Di mana-mana negeri diseluruh Malaysia, sama sahaja. Malah, ada juga pelajar Malaysia di luar negara yang turut mengambil kesempatan 'sama-sama' cuti ini untuk mengadakan majlis perkahwinan mereka. Apa-apa pun, selamat pengantin baru di ucapkan kepada seluruh pasangan pangantin baru yang meraikan hari bersejarah ini serta menamatkan zaman bujang mereka pada tahun 2010. Namun, disebalik kegembiraan ini janganlah dilupakan pesan-pesan Allah kepada kita sebagai muslim mukmin. Perkahwinan adalah suatu amanah dan tanggungjawab. Inilah pesanan Allah kepada kita. Sejak Hawa dipertemukan dengan Adam a.s lagi, umum telah mengetahui bahawa penyatuan itu adalah amanah, kasih sayang itu adalah ketenteraman, zuriat itu adalah harta. Hak-hak suami isteri perlulah disempurnakan, apa lagi dikurniakan anak-anak. Mereka juga telah ditetapkan hak-hak abadi yang perlu disempurnakan oleh ibu bapa. Pendek kata, segala-galanya adalah amanah dan tanggungjawab. Sekiranya melayang amanah dan tanggungjawab ini, maka putuslah tali kasih sayang antara suami isteri, anak-anak dan ibu bapa.

Berkahwin itu hukumnya wajib bagi orang yang mempunyai kesanggupan dan memenuhi syarat, serta khuatir dirinya akan jatuh dalam perzinaan. Alasannya ialah kerana ingin menjaga diri dan menghindari perkara yang haram. Sayid al-Qurtubi pernah berkata : "Orang yang mampu dan kerana tidak berkahwin takut akan membawa bahaya pada diri atau agamanya, sedang hal itu tidak dapat diatasi kecuali dengan berkahwin, maka tidak ada pertikaian di antara 'ulama' bahawa ia wajib berkahwin."

Islam mendorong supaya lelaki memilih wanita untuk dijadikan sebagai isterinya wanita yang solehah begitu juga bagi wanita agar memilih suami daripada lelaki yang soleh. Ukuran kesolehan seseorang ialah ketaqwaannya kepada Allah dan kemuliaan akhlaknya. Di samping itu, kekayaan keturunan dan kedudukannya dalam masyarakat juga menjadi dasar penilaian.

Hadith hadith Rasulullah s.a.w menjelaskan perkara ini:

Daripada Abu Hurairah Rasulullah s.a.w bersabda yang mafhumnya:
"Kahwinilahlah wanita itu kerana empat perkara, kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya, maka ambillah wanita yang ta'at kepada agama nanti kamu akan beruntung." (Bukhari, Muslim)

Daripada Abu Hurairah berkata Nabi s.a.w:
"Sesungguhnya dunia ini adalah harta benda, dan sebaik baik harta benda dunia iaLah wanita yang saleh." (Nasa'i, Muslim)

Daripada 'Abdullah ibn 'Amr berkata ia; bersabda Nabi s.a.w:
"Jangan kamu menikahi wanita itu kerana kecantikannya, sebab barangkali kecantikannya dapat merosakkannya, dan jangan pula kerana hartanya, sebab barangkali hartanya dapat menjadikannya derhaka, dan nikahilah wanita kerana agamanya, dan sesungguhnya hamba sahaya yang hitam dan rosak telinganya tetapi beragama adalah lebih baik." (Ibn Majah, Al Bazzar)

Daripada Anas berkata ia: "Adalah Nabi s.a.w menyuruh kami berkahwin, dan melarang kami membujang dengan larangan yang keras, Lantas beliau bersabda: 'Kahwinilah wanita yang banyak keturunan dan yang dicintai, kerana sesungguhnya aku akan bermegah megah dengan banyaknya umatku di Hari Kiamat." (Ahmad Ibn Hibban)

Sekadar Selayang pandang...Wallahualam =>

No comments: